Wednesday, 27 March 2013

KEJURUTERAAN SUKAN PEMANGKIN KEMAJUAN INDUSTRI SUKAN


 PEKAN, 8 JANUARI 2013 : Untuk julung kalinya satu perbincangan awal telah diadakan bagi mengkaji penambahbaikan dan keberkesanan aspek Kejuruteraan Sukan di Malaysia. Perbincangan selama hampir 2 jam ini melibatkan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Pekan selaku tuan rumah.


Kejuruteraan sukan merupakan satu bidang yang masih baru di Malaysia dengan itu Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjadi perintis dalam membangunkan projek ini. UMP telah menubuhkan makmal Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Sukan yang digelar “CENSE” (Centre For Sports Engineering).

Diketuai oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Prof. Dr. Zahari Taha, Pusat Kecemerlangan Sukan ini telah melakukan beberapa kajian menyeluruh mengenai pembangunan sukan di Malaysia. Diantara kajian semasa yang telah dijalankan ialah Pembangunan Kasut Sukan untuk Sukan Berprestasi Tinggi dan Kajian Mengukur Prestasi Optimum menerusi Analisis Kejuruteraan Biomekanik sewaktu perlawanan untuk pemain bolasepak kebangsaan.

Menurut Prof. Dr. Zahari Taha, “Dengan adanya kajian berterusan dan kerjasama dari pihak yang terilbat ianya dapat membantu menghasilkan satu “produk” yang sangat berguna”, ujarnya. “Dan kerjasama dari atlet dapat menjadikan sesuatu produk itu dapat dikenali melalui atlet”, tambahnya lagi yang mengambil contoh pemain bola sepak terkemuka dunia, Cristiano Ronaldo bersama kasut berteknologi ringan berjenama NIKE.

Menggabungkan kemahiran teknologi berkomputer, bidang ini dilihat sangat membantu atlet pada masa hadapan. Walaupun Malaysia belum lagi mempunyai produk nya sendiri tetapi dengan adanya makmal sebegini ianya memberi petanda baik untuk hubungan Industri Sukan di Malaysia.

Pada perbincangan ini, pihak delegasi dari KBS telah diberi peluang untuk melawat sendiri makmal Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Sukan UMP malah UMP menunjukkan beberapa demonstrasi bagaimana kajian mereka dijalankan.

Lawatan delegasi KBS ini diketuai oleh Setiausaha Bahagian Industri Sukan, Encik Ibrahim bin Yusof bersama wakil Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Syed Abdul Aziz bin Engku Chik Abdullah, juga wakil-wakil dari agensi KBS, MSN dan ISN, serta wakil-wakil dari pihak swasta.

No comments:

Post a Comment