Wednesday, 27 March 2013

Formula One penyumbang utama industri sukan Malaysia – Ahmad Shabery


F1 Grand Prix Malaysia bakal memasuki edisi ke 15 penganjuran tahun ini.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Formula One (F1) di Malaysia merupakan antara penyumbang utama kepada industri sukan di negara ini, kata
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Katanya acara itu bukan sahaja menjana pendapatan sektor pelancongan tetapi juga pemangkin yang menghubungkan pelbagai aspek lain dalam rantaian bekalan.
“Daripada mekanik yang berdedikasi menambah baik enjin Proton pelanggan mereka untuk perlumbaan tempatan akan datang kepada jenama besar seperti Petronas, AirAsia dan Naza yang memanfaatkan keboleh pasaran F1,” katanya ketika berucap pada pelancaran rasmi Grand Prix (GP) F1 Petronas Malaysia 2013, di sini pada Selasa.
Malaysia akan menganjurkan pusingan kedua daripada 20 perlumbaan FIA Formula One World Champiosnhip, dari 22 hingga 24 Mac ini di Litar Sepang.
Musim baharu ini akan bermula dengan GP Australia dari 15 hingga 17 Mac di Albert Park, Melbourne.
Antara yang hadir pada majlis itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abas serta Pengerusi Sepang International Circuit (SIC) Datuk Mokhzani Tun Mahathir.
Ahmad Shabery berkata berdasarkan kajian PricewaterhouseCoopers Capital Sdn Bhd, GP Malaysia 2011 menjana aktivi ekonomi bernilai RM385 juta, iaitu pulangan tiga kali ganda pelaburan kerajaan dalam F1.
Pada majlis itu, penaja utama kejohanan Petronas dan penganjur acara SIC melancarkan pakej khas ‘One Ticket Unlimited’ (1TU) yang membolehkan peminat menikmati pelbagai keistimewaan.
Antaranya diskaun tambahan membeli-belah semasa kempen ’1Malaysian GP Sale’ sepanjang bulan Mac, selain berpeluang menyaksikan konsert selepas perlumbaan yang menampilkan kumpulan rock Guns N Roses pada 24 Mac secara percuma bagi pemegang tiket grandstan, manakala bagi ‘hillstand’ hanya perlu membayar RM120.
Keistimewaan lain termasuk pengangkutan menerusi ERL atau Skybus, baucar makanan dan minuman serta barangan eksklusif ulang tahun ke-15 GP Malaysia. - Bernama

No comments:

Post a Comment